Assalamualaikum wbt
Sempena Ramadhan kali ini, marilah bersama-sama kita meningkatkan amalan. Tak perlu rasanya saya perincikan dalil-dalilnya lantaran banyak sudah tazkirah dan ceramah yang tuan-tuan dan puan-puan dengar saban tahun, termasuk tahun ini.
Apa yang penting ialah kita gunakan pesta ibadah ini, untuk meningkatkan level kita. Kalau dulu solat 5 waktu sendirian, naikkan ke solat berjemaah. Kalau dulu susah baca Quran, naikkan ke bacaan harian. Kalau dulu susah nak bersedekah, jadikan rutin walau sedikit. Kalau dulu susah bangun malam, waktu ramadhan inilah peluang terbaik melatih diri. Jangan sia-siakan waktu sahur dengan bangun makan sahaja.
Dengan tawaran pahala yang berlipat ganda, rugilah siapa yang tidak memanfaatkan pesta ibadah ini. Tentulah yang paling baik ialah apabila kita bawa level baru tersebut berterusan ke ramadhan yang akan datang, untuk ditingkatkan seterusnya. Rugilah kita jika hari ini kita tidak bertambah baik berbanding semalam.
"Barangsiapa yang menghidupkan ramadhan dengan keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan segala dosanya" (mafhum Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita sepatutnya merenung maksud tersirat bilamana Allah menawarkan pembebasan dari api neraka dalam bulan Ramadhan. Tidakkah apabila seseorang itu dibebaskan bermaksud secara defaultnya dia berada di dalam neraka? Kita wajar menyedari bahawa kita sebenarnya pasti ke neraka jika tiada pembebasan daripada Allah. Oleh itu rebutlah peluang ini untuk menjadi bebas, bukannya hanya sambil lewa seolah-olah kita sudah pasti ke syurga.
Sekian, selamat beramal!
0 comments:
Catat Ulasan